JAMU - KHASIAT & KEPENTINGAN JAMU DI KALANGAN REMAJA DAN WANITA

Kongsi ilmu

JAMU - KHASIAT & KEPENTINGAN JAMU DI KALANGAN REMAJA DAN WANITA

Seharusnya, remaja mengambil jamu untuk jaminan kesihatan dan kekuatan tubuh badan apabila mereka menginjak dewasa kelak. Apabila remaja sudah dididik dengan pengambilan jamu, tubuh menjadi bertenaga dan memudahkan mereka bergerak aktif dalam kehidupan seharian.

DI INDONESIA, pengambilan jamu dalam kalangan masyarakat diamalkan sejak kecil sehingga mereka meningkat dewasa. Lebih mengujakan bukan wanita yang bersalin sahaja makan jamu, malah bayi turut diberikan jamu yang dihasilkan bersesuaian dengan keadaan mereka. Biasanya jamu bayi bukan untuk dimakan tetapi lebih kepada disapu pada tubuh badan dan muka.

Namun situasi ini sukar dilihat di negara kita. Rata-rata golongan wanita hanya sibuk mengambil dan mencari jamu ketika dalam proses berpantang bersalin. Sebaik saja selesai tempoh berpantang, pengambilan jamu sudah tidak dipedulikan lagi. Ini kerana segelintir wanita berpendapat badan mereka sudah cukup kuat dan bertenaga semula.

Jamu kurang popular di Malaysia kerana sebahagian masyarakat mengambil sikap sambil lewa soal kesihatan dalaman badan. Sedangkan rejim penjagaan dan kecantikan tubuh badan tertumpu pada senaman dan diet seimbang bagi memiliki bentuk badan yang ideal.

Bagi yang ingin mendapatkan hasil lebih cepat, mereka sanggup melaburkan sejumlah wang dengan melakukan pembedahan plastik mahupun sedut lemak. Biarpun menyedari bakal berdepan dengan kesan sampingan serta risiko yang boleh mengundang maut, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat individu yang ingin kelihatan cantik dengan segera.

Hakikatnya kombinasi senaman, gaya hidup teratur, sistem pemakanan yang betul dan disusuli dengan pengambilan jamu akan mendapat hasil yang lebih baik. Bukan sahaja bentuk badan menarik, malah kesihatan dalaman badan turut terjaga.

Secara umumnya, jamu ialah penawar tradisional dari Indonesia yang turut dikenali dengan sebagai herbal. Ia diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi khususnya tumbuh-tumbuhan yang mempunyai khasiat tersendiri. Antaranya ramuan akar-akar pokok, daun, kulit, batang dan buah.

Bahan-bahan itu akan diadun bagi mendapatkan jamu dalam bentuk kaplet, serbuk atau cecair. Rasanya yang pahit kadangkala mendorong pengguna mencampurkan sesudu madu lebah.

Tidak dinafikan rasanya yang pahit membuatkan orang ramai khususnya remaja dan generasi muda enggan mengambil jamu. Secara tidak langsung mereka lebih gemar mengambil ubat-ubatan moden yang tidak mengeluarkan bau. Namun jangan khuatir kerana pada hari ini, jamu juga ada dalam bentuk kaplet yang mudah ditelan dengan meminum air kosong.

Seharusnya remaja mengambil jamu untuk jaminan kesihatan dan kekuatan tubuh badan ketika menginjak dewasa kelak. Apabila remaja sudah dididik dengan pengambilan jamu, tubuh menjadi bertenaga dan memudahkan mereka bergerak aktif dalam kehidupan seharian

Khasiat jamu

Misalnya, wanita yang aktif dalam menguruskan kerjaya dan keluarga mudah letih. Jadi, ramuan yang terdapat di dalam jamu dapat membantu memperbaiki proses pencernaan, melancarkan peredaran darah, menghilangkan keletihan serta menambahkan daya tahan tubuh badan agar sihat dan segar.

Masalah keputihan yang sering dialami oleh wanita juga mampu diatasi dengan jamu yang diperbuat daripada delima putih dan tapak liman. Ramuan itu digunakan secara tradisional untuk melegakan keputihan.

Bagi masalah jerawat pula ekstrak daun senduk, hempedu bumi, pegaga, kunyit dan temulawak mampu membantu mencegah dan mengubatinya. Pada masa yang sama ia menyembuhkan parut-parut jerawat.

Sebahagian wanita yang mengalami rasa ngilu, perut memulas dan senggugut semasa haid, jamu yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan seperti kayu ulas dan kendawung adalah pilihan yang ideal.

Masyarakat Indonesia sentiasa berpegang teguh pada amalan kecantikan tradisional. Kemunculan teknologi canggih yang menawarkan pelbagai produk kecantikan sedikit pun tidak menjejaskan penjualan dan sambutan terhadap jamu. Sebagai contoh, masih ada kanak-kanak dan golongan remaja yang dibesarkan dalam persekitaran moden tetap mengambil jamu pada setiap hari. Ini kerana ibu bapa mereka cukup menitikberatkan kesihatan badan menggunakan bahan-bahan tradisional.

Sebab itu, di sana kita boleh melihat penjualan jamu wujud di setiap daerah, kampung dan di bandar. Fahamilah, gaya hidup masyarakat kini tidak sama dengan masyarakat yang hidup sebelum merdeka. Walaupun tanpa ubat dan pil moden, mereka tetap kuat bercucuk tanam dan melakukan kerja berat tanpa masalah. Ini kerana kehidupan di kampung banyak menyajikan lauk-pauk yang berasaskan ulam-ulaman dan sayur-sayuran. Justeru, selain sayur pengambilan jamu juga dapat membantu menyihatkan badan.

Comments

Popular posts from this blog

LATIHAN DAN TEKNIK KEMUTAN FARAJ

ABE GAGOH

APA ITU KEPUTIHAN?...